Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:50pm
MANGSA yang cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki (gambar kecil) dalam kejadian di lorong belakang sebuah kedai serbaneka, di Sri Perdana. NSTP/Ihsan PDRM.
MANGSA yang cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki (gambar kecil) dalam kejadian di lorong belakang sebuah kedai serbaneka, di Sri Perdana. NSTP/Ihsan PDRM.

Remaja cedera dipukul, berebut kekasih

LAHAD DATU: Gara-gara berebut teman wanita, seorang remaja cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di lorong belakang sebuah kedai serbaneka di Sri Perdana, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, remaja lelaki berusia 19 tahun itu dibelasah tujuh lelaki hingga mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan mulut, selain pinggang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata kejadian berlaku ketika mangsa turun dari tangga rumah sewanya dan mahu masuk ke dalam kereta.

“Tiba-tiba mangsa didatangi tujuh lelaki tidak dikenali lalu memukulnya di bahagian kepala, mulut dan belakang badan. Ketika kejadian, sepupu mangsa turut melihat ada suspek yang memegang pisau.,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, Nasri berkata, polis menahan lima suspek dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan di hadapan sebuah rumah di Taman Aman, di sini kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 25 tahun dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita.

“Difahamkan, mangsa dan salah seorang daripada suspek masing-masing mengaku wanita yang direbut adalah teman wanita mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Nasri berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X