Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:45pm

Pemandu bas mini ditahan cabul pelancong Jepun

KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas mini berusia 30 tahun ditahan selepas disyaki mencabul pelancong wanita warga Jepun, di sini semalam.

Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam di hadapan sebuah kedai di Jalan Sulaman, di sini selepas mangsa berusia 40 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa baru tiba di bandar raya ini, Sabtu lalu sebelum menaiki bas mini dipandu suspek di Terminal Bas Bandaraya untuk ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

“Selepas selesai melawat kawasan masjid, mangsa menaiki semula bas berkenaan dan meminta pemandu menghantar semula pulang ke terminal. Bagaimanapun, suspek meminta mangsa duduk di bahagian depan penumpang.

“Setibanya di Bukit Bendera kira-kira jam 2 petang, suspek tiba-tiba memegang kemaluan mangsa dan terus memeluk wanita berkenaan. Mangsa cuba melepaskan diri, namun suspek terus memegang payudara dan kemaluan mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Habibi berkata, suspek kemudian memberhentikan bas di tepi jalan dan sekali lagi cuba mencabul mangsa sehingga menyebabkan wanita itu menjerit meminta pertolongan.

“Suspek kemudian meninggalkan mangsa di Jalan Dewan sebelum mangsa meminta pertolongan orang awam untuk membuat laporan polis.

“Berikutan laporan yang dibuat, polis berjaya menahan pemandu terbabit dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.

Berita Harian X