Ahad, 11 Ogos 2019 | 9:20am

Guru wanita rugi RM193,000 ditipu Macau Scam

JERANTUT: Bimbang dikenakan tindakan undang-undang, seorang guru wanita di sini menanggung kerugian RM193,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula Rabu lalu apabila mangsa berusia 51 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek wanita memperkenalkan diri sebagai ‘Nor Adila Mad Zaidan’ dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan memaklumkan mangsa diminta hadir ke Mahkamah Kuala Terangganu dalam tempoh dua jam kerana terbabit dengan saman tunggakan kad kredit.

“Mangsa turut dimaklumkan semua akaun bank akan dibekukan jika (mangsa) gagal hadir dalam tempoh dua jam ke mahkamah itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu, sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek bernama ‘Sarjan Kamal’ yang kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Hasil semakan ‘Sarjan Kamal’ mendapati mangsa turut terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram. Suspek juga mendakwa akaun mangsa terbabit dengan sindiket diketuai oleh ‘Kamarudin Awang’ dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada Khamis lalu, mangsa dihubungi pula oleh seorang lagi suspek yang mendakwa seorang inspektor polis sebelum mengarahkan guru yang bertugas di sekolah menengah di Kuala Lipis membuka akaun di sebuah bank.

“Mangsa kemudian mengikut segala arahan diberikan suspek kerana terlalu takut sebelum memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun itu.

“Selepas itu, mangsa menyerahkan maklumat akaun termasuk kata laluan perbankan dalam talian miliknya kepada suspek, kononnya bagi urusan siasatan,” katanya.

Namun semalam, mangsa membuat semakan akaun miliknya dan mendapati wang berjumlah RM193,000 dalam akaun itu sudah lesap.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X