Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:42pm
Kakak mangsa, Zainon menunjukkan gambar lima sekeluarga yang terkorban akibat kemalangan maut yang membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). - NSTP/Khairunisah Lokman
Kakak mangsa, Zainon menunjukkan gambar lima sekeluarga yang terkorban akibat kemalangan maut yang membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). - NSTP/Khairunisah Lokman

'Adik pemandu berhemah, jarang pandu laju'

ALOR GAJAH: “Saya tidak sangka hajatnya menyambut Aidiladha di kampung berakhir dengan kematian bersama empat ahli keluarga sekali gus,” kata Zainon Ahmad, 74, kakak ketiga Azahar, 57, dan Habibah, 62, yang maut dalam nahas tiga kenderaan menyebabkan enam maut di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Jelatang, semalam.

Zainon anak ketiga daripada 14 beradik berkata, dia terkejut dengan nahas itu kerana Azahar seorang yang berhemah dalam pemanduan dan jarang memandu laju.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam, dua anak Azahar, Alia, 17, dan Alissa, 15, serta isterinya Halimahtun Aris Padzil, 24, turut maut.

Lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari Yong Peng, Johor, menghala ke Brisu untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Semua mereka yang menaiki pikap Isuzu D-Max terbabit kemalangan selepas dirempuh sebuah lagi pikap, Mitsubishi Triton yang dinaiki dua beranak dari arah bertentangan. Pemandu Triton, Wang Chow Kuang, 51, turut maut.

Zainon berkata, kali terakhir dia bertemu kedua-dua adiknya itu ialah pada Aidilfitri lalu namun mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Katanya, mereka sekeluarga bercadang menyambut Aidiladha di rumah Habibah dan kebiasaannya mereka akan mengunjunginya di Kampung Brisu.

"Arwah (Azahar) memang selalu balik ke rumah ini bila cuti, kerana ia rumah pusaka dan diduduki Habibah dan arwah suaminya. Setiap tahun dia akan balik beraya di sini," katanya ditemui di rumah Habibah di Kampung Brisu di sini, hari ini.

Jenazah Azahar dan Habibah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pering Brisu, jam 4.45 petang tadi.

Zainon berkata, Azahar seorang pegawai FELCRA Berhad di Seri Iskandar, Perak tiba di rumah Habibah pada Khamis, dan tidur semalam di rumah itu sebelum bergerak ke Yong Peng, Johor untuk mengambil dua anaknya, Alia dan Alissa di rumah bekas ibu mentuanya, Zaleha Nikmat, 62.

"Azahar dan Habibah sangat rapat. Dia (Azahar) selalu balik ke sini dan turut bersama Habibah menjaga rumah pusaka ini, kerana Habibah tinggal seorang diri," katanya yang tinggal di Kampung Solok Uban di sini.

Sementara itu, anak sulung Azahar hasil perkahwinan pertamanya, Azri Azahar, 30, berkata kali akhir dia berhubung dengan ayahnya pada 2 Ogos lalu menerusi WhatsApp dan bapanya berpesan kepadanya untuk menjaga kesihatan.

Beliau yang bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta di Kuantan, Pahang berkata bapanya seorang yang tegas tetapi tetapi mengambil berat tentang dirinya.

"Agak terkejut sebab hilang serentak kerana semua yang meninggal rapat dengan saya, termasuk dua anak ayah hasil perkahwinan keduanya," katanya yang juga anak sulung dan tunggal bersama bekas isteri pertama bapanya.

Azri berkata, kali terakhir dia bertemu ayah serta ibu tirinya ialah pada Ramadan lalu. Ketika itu ayahnya kelihatan ceria, mungkin berikutan baru berkahwin.

Berita Harian X