Sabtu, 10 Ogos 2019 | 4:14pm

Dua ahli Geng Tebuk maut

MELAKA: Dua ahli ‘Geng Tebuk’ dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di persimpangan Jalan Tasik Utama, berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia awal 30-an itu maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi suspek turut disyaki warga asing meloloskan diri di kawasan belukar berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kesemua suspek dipercayai aktif melakukan rompakan sejak tahun lalu dengan menyasarkan peti besi premis perniagaan atau kilang di negeri ini.

Beliau berkata, sepasukan polis dari JSJ Bukit Aman yang melakukan rondaan di kawasan persimpangan Jalan Tasik Utama, terserempak dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan, sebelum semakan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Sebaik polis cuba menghampiri kenderaan itu, tiba-tiba suspek bertindak memecut laju sejauh kira-kira dua kilometer sebelum kenderaan itu terbabas di Jalan TU 61.

“Ketika anggota hendak memperkenalkan diri sebagai polis, kesemua empat suspek bertindak keluar daripada kereta, dengan seorang suspek di tempat duduk bahagian depan melepaskan beberapa das tembakan.

“Seorang lagi suspek di tempat duduk belakang melibas-libaskan parang ke arah polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

“Susulan kejadian berbalas tembakan itu, dua suspek ditemui mati di tempat kejadian dengan kecederaan di kepala dan dada. Semakan ke atas dua suspek yang mati itu tidak menemui sebarang dokumen pengenalan, selain dipercayai mereka adalah warga asing.

“Polis turut menggunakan unit anjing pengesan (K9) untuk menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Yhazid berkata, Geng Tebuk itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah pejabat dengan menyasarkan peti besi keselamatan sejak 2018.

“Kita percaya dapat menyelesaikan empat kes membabitkan kumpulan ini dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM172,000, termasuk yang terbaharu membabitkan kerugian RM90,000 di Bukit Gedong.

“Polis merampas sebuah kereta, peralatan yang digunakan termasuk sepucuk pistol Revolver bersama enam kelongsong peluru, empat bilah parang, sebuah mesin grinder dan mesin penebuk dinding,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan dua lagi suspek sedang giat dijalankan selain kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

BARANGAN yang dirampas anggota polis selepas kejadian berbalas tembakan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir. NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
BARANGAN yang dirampas anggota polis selepas kejadian berbalas tembakan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir. NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X