Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:30pm
ANGGOTA Bomba dan APM berusaha mengalihkan pokok yang tumbang berikutan ribut yang melanda. - Foto ihsan pembaca

APM Perlis terima 161 panggilan pokok tumbang

KANGAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis menerima 161 panggilan kecemasan membabitkan kejadian pokok tumbang berikutan ribut yang melanda beberapa kawasan negeri ini sejak 8.30 malam tadi.

Timbalan Pengarah APM Perlis, Mohd Farid Ishak, berkata sehingga jam 9.45 malam tadi, sebanyak 74 panggilan diterima menerusi talian kecemasan 999 manakala selebihnya adalah panggilan terus ke bilik operasi pihaknya.

"Setakat ini kita terima semua panggilan itu sebagai kes yang berlainan memandangkan pihak APM sedang fokus kerja operasi pemulihan di lokasi.


ANGGOTA Bomba dan APM berusaha mengalihkan pokok yang tumbang berikutan ribut yang melanda. - Foto ihsan pembaca

"Setakat ini sembilan kawasan dilaporkan terjejas teruk seperti di Jalan Ngulang, Repoh, Simpang Empat Dato' Kayaman, Jalan Santan menghala ke Balai Baru berdekatan Kilang Medequip, Jalan Padang Benta, Sungai Berembang dan sekitar Kompleks Perniagaan Chin Hin, Arau.

"Di sekitar bandar Kangar, antara kawasan yang terjejas adalah di hadapan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra dan Jalan Santan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Farid berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan yang melaporkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal dihempap pokok tumbang.

"Bagaimanapun saya difahamkan mangsa kini sedang menerima rawatan di HTF dan status mangsa masih belum diketahui.

"Setakat ini anggaran kerugian masih ditaksirkan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka,” katanya.

Berita Harian X