Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:29pm
Antara kenderaan yang dicalarkan suspek di tempat meletak kenderaan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). - Foto ihsan Polis
Antara kenderaan yang dicalarkan suspek di tempat meletak kenderaan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). - Foto ihsan Polis

Polis tahan lelaki calar kenderaan di kawasan parkir

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki, Isnin lalu, kerana disyaki mencalarkan beberapa kenderaan di kawasan parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata suspek ditahan selepas pemilik salah sebuah kenderaan terbabit membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu. Ketika pengadu tiba di tempat parkir, didapati sekeliling kenderaan jenis Subaru Crosstrek berwarna biru miliknya dicalarkan dengan objek keras.

“Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kerugian sebanyak RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Habibi berkata, laporan itu membawa kepada penahanan suspek kira-kira jam 8.30 malam keesokannya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Putatan.

“Sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menangkap seorang lelaki warga tempatan disyaki terbabit kes itu.

“Turut dirampas barang kes, iaitu sebuah motosikal bersama kunci kenderaan itu dan gunting dipercayai digunakan untuk mencalar kenderaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku melakukan kesalahan itu dengan menggunakan gunting untuk mencalar dan menggores kenderaan pengadu.

“Suspek juga mengaku melakukan perkara sama terhadap beberapa kenderaan lain di kawasan KKIA dengan menyasarkan yang berwarna hitam.

“Suspek melakukan perkara itu secara rawak, namun motif perbuatan berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X