Rabu, 7 Ogos 2019 | 9:28am

Dua lelaki rugi RM45,200 ditipu sindiket Macau Scam

KUANTAN: Dua lelaki menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam selepas didakwa mempunyai tunggakan kad kredit mengakibatkan mereka mengalami kerugian RM45,200.

Kedua-dua mangsa berusia 26 dan 50 tahun itu diperdaya dua suspek yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah dan pegawai dari Jabatan Audit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa pertama seorang juruteknik berusia 26 tahun mengalami kerugian RM35,600 selepas diperdaya suspek yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah.

“Mangsa dihubungi seorang lelaki yang mendakwa dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Ahad lalu yang menyatakan mangsa mempunyai notis untuk hadir ke mahkamah berkait kes tunggakan kad kredit.

“Selepas itu, panggilan terbabit disambungkan pula kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Sarjan Zamini yang turut mendakwa mangsa terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram serta dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, talian itu kemudian disambungkan kepada Inspektor Salina yang meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank miliknya.

“Mangsa menyerahkan butiran perbankan internet dan nombor TAC bagi tujuan semakan. Selepas talian diputuskan, mangsa menerima mesej daripada pihak bank menunjukkan terdapat tiga transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun berjumlah RM35,600,” katanya.

Sementara itu, Mohd wazir berkata, kes kedua membabitkan seorang mekanik berusia 50 tahun yang kerugian RM9,600 selepas mendapat panggilan kononnya dari Jabatan Audit dan Jabatan Peguam Negara, semalam.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang kononnya dari Jabatan Peguam Negara.

“Mangsa dimaklumkan waran tangkap sudah dikeluarkan ke atasnya kerana terbabit dalam pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta butiran akaun mangsa dan menyuruh mekanik itu memasukkan wang berjumlah RM9,600 ke dalam satu akaun yang diberikan.

“Kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X