Selasa, 6 Ogos 2019 | 6:17pm

Jual skuter curi di pasar karat

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian skuter elektrik, di sekitar ibu negara dan Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata suspek pertama ditahan pada 30 Julai lalu selepas polis mendapat maklumat skuternya yang dicuri, dijual di pasar karat di Jalan Sultan, di sini, pada hari sama.

“Skuter elektrik itu disediakan oleh pihak syarikat bagi kegunaan pelancong mengikut masa tertentu sebelum ditinggalkan di sesuatu tempat.

“Namun, lelaki itu mengambil kesempatan dengan mencuri skuter berkenaan.

“Suspek menggunakan jalan pintas untuk memperoleh wang secara tidak sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, hasil soal siasat tahanan itu membawa kepada operasi serbuan di sebuah premis besi buruk di Kepong pada hari sama suspek pertama diberkas.

“Di situ, kita menemui 14 skuter elektrik dipercayai dicuri dan menahan dua lelaki yang terdiri daripada pekerja serta penjaga premis itu untuk siasatan lanjut.

“Sejurus selepas itu, polis turut berjaya menahan enam lagi lelaki di sekitar Lembah Klang dipercayai terbabit dalam kegiatan sama,” katanya.

Katanya, semua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada mereka sudah didakwa di mahkamah pada Jumaat lalu, manakala lapan suspek lagi akan didakwa di mahkamah minggu ini,” katanya.

KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan skuter elektrik yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X