Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:46pm
SEORANG remaja maut apabila tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya dalam kemalangan di Kilometer 438.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buaya menuju Rawang, Gombak, hari ini.
SEORANG remaja maut apabila tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya dalam kemalangan di Kilometer 438.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buaya menuju Rawang, Gombak, hari ini.

Remaja maut tercampak keluar dari kereta

GOMBAK: Seorang remaja maut apabila tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya dalam kemalangan di Kilometer 438.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Sungai Buaya menuju Rawang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, Muhammad Iqhrul Mohd Fadzlie, 17, meninggal dunia di lokasi nahas selepas kereta dipandu bapanya, Mohd Fadzlie Mohd Yusop, terbabas lalu melanggar besi pemisah tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 6.18 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Naza Rondo dipandu bapa mangsa hilang kawalan selepas tayar belakang bahagian kiri pecah, menyebabkan ia terbabas dan melanggar besi pemisah tengah jalan.

“Perlanggaran itu menyebabkan enjin kereta tercabut dan dilanggar sebuah Proton Exora, manakala mangsa terpelanting keluar dan terjatuh di atas jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan, disahkan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, bapa mangsa pula patah kaki kanan, manakala pemandu Proton Exora dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal maut apabila motosikalnya bergesel dipercayai dengan sebuah kenderaan berat dan terseret sejauh 10 meter (m).

Samsor berkata, pihaknya sedang mengesan kenderaan terbabit berikutan pemandunya disyaki melarikan diri selepas kemalangan itu.

“Kemalangan berlaku pada jam 5.45 petang tadi di Kilometer 5 Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) dari arah Sentul menghala ke Greenwood Park.

“Siasatan awal mendapati mangsa, Mohammad Khairul Anuar Ismail, 33, menunggang motosikal sendirian bergesel dengan sebuah kenderaan tidak pasti jenisnya tetapi dipercayai kenderaan berat, sebelum diheret sejauh 10m,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Kita mohon mereka yang menyaksikan kemalangan itu atau ada maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi terus Pegawai Penyiasat Inspektor Zhariff melalui nombor 013-2969222 atau balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X