Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:21am
NORA Anne Quoirin.

Remaja warga Ireland hilang dari pusat peranginan

SEREMBAN: Seorang remaja perempuan warga Ireland yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang dari tempat penginapan keluarganya di sebuah pusat peranginan di Kampung Pantai, di sini pagi tadi.

Kehilangan Nora Anne Quoirin, 15, disedari keluarganya kira-kira jam 8 pagi tadi sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata remaja terbabit bersama keluarganya sedang bercuti dan mendaftar masuk ke pusat peranginan itu semalam.

“Pemilik pusat peranginan itu dimaklumkan mengenai kehilangan remaja berkenaan oleh anggota keluarganya kira-kira jam 8 pagi tadi apabila mangsa didapati tiada di biliknya.

“Berikutan itu, usaha pencariannya dilancarkan di sekitar premis berkenaan, namun remaja berkenaan gagal ditemui sebelum laporan polis dibuat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, operasi mencari mangsa dilaksanakan membabitkan anggota dari Balai Polis Pantai, termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Hasil siasatan mendapati remaja berkenaan datang ke Malaysia bersama ibu bapanya dan dua lagi adik-beradiknya. Keluarganya mendakwa remaja itu mengalami masalah lembam.

“Setakat ini mangsa belum dijumpai. Gerakan mencari mangsa diteruskan. Semua Ketua Polis Daerah di Negeri Sembilan sudah dimaklumkan untuk membantu mengesan dan mencari mangsa,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita menerusi akaun Twitter ibu saudaranya, Aisling Agnew memuat naik hantaran mendakwa anak saudaranya yang bercuti di Negeri Sembilan menghilangkan diri ketika keluarganya sedang tidur.

Perkara itu kini tular di laman sosial Facebook dan turut dilaporkan BBC News.


NORA Anne Quoirin dilaporkan hilang dari tempat penginapan keluarganya di sebuah pusat peranginan di Kampung Pantai, Seremban, pagi tadi.

Berita Harian X