Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:43am
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melawat kawasan kemalangan lif di blok C PPR Kerinchi, semalam. - Foto Hafiz Sohaimi

JKKP siasat rapi punca lif PPR Kerinchi terhempas

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini terhempas hingga menyebabkan lapan cedera.

JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkata pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutama membabitkan pekerja, orang awam dan harta benda.

“Siasatan kemalangan mula dijalankan pada malam tadi oleh pegawai penyiasat JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik lif memastikan lif berada dalam keadaan selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pemilik lif bertanggungjawab memastikan lif diselenggara secara berkala dan mempunyai kontrak penyelenggaraan dengan firma yang berwibawa sekurang-kurangnya sekali setiap 12 bulan.

Malah, pemilik perlu memastikan lif terbabit mempunyai sijil perakuan yang sah untuk dikendalikan.

“Pemilik dan firma penyelenggara boleh didakwa jika terbukti gagal memastikan lif dalam keadaan baik sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.

Semalam, lapan orang cedera apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari aras bawah dan berhenti di tingkat lima. Apabila seorang daripada mereka keluar, lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

8 cedera lif terhempas dari tingkat 5

'Sempat pegang panel butang lif'

PPR perlu audit penyelenggaraan - TPM

Hanya tawakal dan sebut nama Allah...

Berita Harian X