Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:07pm

Buruh binaan maut ditikam rakan sekerja

BATU GAJAH: Seorang buruh binaan warga Indonesia maut ditikam dipercayai oleh rakan sekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Pisang, di sini antara jam 11 malam hingga 1.30 pagi tadi.

Mangsa berusia 24 tahun yang berasal dari Madura, Indonesia meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara buruh binaan terbabit dengan rakan sekerja di tapak pembinaan itu sebelum mangsa ditikam dengan senjata tajam.

“Disyaki berlaku pergaduhan antara rakan sekerja di tapak pembinaan itu sebelum mangsa dibunuh.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat dan punca kematian adalah akibat kesan tikaman menggunakan senjata tajam di badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Adnan berkata, rakan sekerja mangsa juga dipercayai warga Indonesia dan kesemua penghuni rumah kongsi di tapak pembinaan itu sudah melarikan diri ketika polis tiba di lokasi kejadian dan usaha mengenal pasti serta mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif atau punca sebenar kejadian termasuk mengesan senjata yang digunakan suspek.

“Polis juga masih menyiasat bilangan suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Asisten Superintendan Faizul atau Inspektor Farid di talian 05-3629222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berita Harian X