Jumaat, 2 Ogos 2019 | 12:07pm
Gambar fail, rakaman CCTV Seorang lelaki yang memeluk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes dan video insiden itu viral di media sosial pada 10 Julai lalu.
Gambar fail, rakaman CCTV Seorang lelaki yang memeluk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes dan video insiden itu viral di media sosial pada 10 Julai lalu.

Lelaki viral peluk budak perempuan didakwa

SELAYANG: Seorang lelaki yang memeluk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes dan video insiden itu viral di media sosial, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Buruh binaan, Aris, 46, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Aris, yang juga warga Indonesia, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk mangsa, di sebuah kedai serbaneka, Bandar Country Homes Rawang, di sini, jam 6.19 petang, pada 10 Julai lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M Arunjothy, tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh adalah warga asing dan tidak memiliki pasport.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, video cabul itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan tular menerusi media sosial, terutama Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan majoritinya menggesa polis memberkas serta menghukum suspek secepat mungkin.

Ketika kejadian, mangsa sedang melihat barang di rak jualan sebelum tertuduh mendekatinya dari arah belakang, lalu memeluk kanak-kanak itu.

Lelaki berkenaan kemudian kembali lagi ke rak jualan terbabit dan melakukan perkara sama sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Tertuduh kemudian berpura-pura melihat barang di rak jualan sebelum beredar dari ruang kedai itu.

Berita Harian X