Selasa, 30 Julai 2019 | 10:05am

Pengetua mangsa tipu Macau Scam

JERANTUT: Bimbang ditahan polis kerana kononnya terbabit dengan kes dadah, seorang pengetua sebuah sekolah di sini kerugian RM3,000 ditipu sindiket Macau Scam menyamar sebagai polis dan pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 14 Julai lalu, wanita berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘David Tan’ dari sebuah bank di Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai akaun dengan bank itu dan membuat pinjaman wang berjumlah RM70,000 pada 13 Mac lalu serta mempunyai tunggakan selama tiga bulan berjumlah RM3,885.

“Mangsa menafikan membuat pinjaman berkenaan sebelum suspek meminta mangsa membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Hendra’ menyatakan perkara sama.

“Selepas itu, panggilan mangsa disambungkan kepada seorang lagi suspek dikenali sebagai ‘Inspektor Mazlan Majid’ yang kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

“Suspek mendakwa akaun mangsa terbabit dengan aktiviti haram dan (suspek) meminta maklumat berkaitan dengan semua akaun bank milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa membayar wang reman sebanyak RM3,000 dan mendakwa satu waran tangkap akan dikeluarkan jika mangsa gagal berbuat demikian.

“Mangsa membuat tiga kali transaksi ke nombor akaun diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,000,” katanya.

Katanya, selepas membuat pindahan wang berkenaan, mangsa mula curiga kerana suspek masih lagi meminta wang dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

tamat

Berita Harian X