Isnin, 29 Julai 2019 | 4:05pm
SEORANG peragut cedera dirempuh kereta sejurus selepas meragut beg tangan seorang gadis di Jalan Aston, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Peragut cedera dirempuh kereta ketika larikan diri

BUKIT MERTAJAM: Seorang peragut menerima ‘balasan’ segera apabila cedera dirempuh kereta sejurus selepas meragut beg tangan seorang gadis di Jalan Aston, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun yang berjalan seorang diri di kaki lima premis dikejutkan dengan tindakan suspek berusia 39 tahun yang sedang baring kemudian tiba-tiba bangun lalu memaut leher mangsa.

Pada masa sama, suspek merentap beg tangan yang dibawa mangsa dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata mangsa menjerit meminta pertolongan dan orang ramai membantu mengejar suspek.

“Mereka yang mengejar suspek mendapati lelaki itu membuang beg tangan mangsa selepas mengambil barangan berharga termasuk wang tunai.

“Selepas itu, suspek melarikan diri dengan melintas jalan sebelum dia dilanggar sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, anggota polis bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai insiden terbabit dan suspek dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk menerima rawatan.

“Mangsa tidak cedera dan dia memaklumkan baru selesai menghadiri upacara keagamaan dan mahu singgah di kedai kopi di situ untuk membeli makanan.

“Namun, tiba-tiba lelaki yang sedang berbaring di kaki lima itu bangun dan meragut beg tangan miliknya yang mengandungi telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM50,” katanya.

Katanya, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X