Jumaat, 26 Julai 2019 | 7:27pm
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang wanita warga China diragut dua lelaki di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang wanita warga China diragut dua lelaki di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Dua lelaki kena cekup selepas ragut wanita China

KUALALUMPUR: Polis berjaya menahan dua penjenayah tidak sampai 12 jam selepas meragut beg tangan seorang wanita warga China dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata kedua-duanya berjaya ditangkap pada jam 2.30 pagi semalam sejurus menerima maklumat kejadian ragut berkenaan yang berlaku pada jam 3.40 petang kelmarin.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek pada mulanya berlegar-legar di lokasi dengan menaiki dua buah motosikal sebelum salah seorang suspek meragut beg tangan mangsa. Mangsa yang terjatuh di atas jalan raya mengalami kecederaan di bahagian mata, kedua belah tangan serta kaki.

“Suspek berjaya melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM4,000, pasport, telefon bimbit dan gelang tangan perak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, susulan siasatan yang dijalankan, suspek berusia 26 dan 27 tahun, kedua-duanya warga tempatan itu akhirnya berjaya ditangkapdalam serbuan di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, kita menemui lapan paket dadah disyaki methamphetamine seberat 5.5 gram, satu biji pil dipercayai Erimin 5, dua beg pinggang serta lima telefon bimbit.

“Kita turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan curi motosikal,” katanya yang turut memaklumkan semakan mendapati motosikal digunakan suspek dilaporkan hilang di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 26 tahun mempunyai 19 rekod jenayah lampau berkaitan samun, curi motosikal dan dadah, manakala rakan subahatnya pula memiliki 21 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah sama.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine dan kedua-dua suspek kini ditempatkan di lokap Balai Polis Cheras sementara permohonan reman dibuat hari ini.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Dalam rakaman berdurasi satu minit dua saat itu, kelihatan mangsa sedang berjalan kaki bersendirian sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangan dibahu kananya dari arah belakang menyebabkan mangsa tersungkur.

Seorang lagi suspek dilihat memungut sesuatu di atas jalan raya sebelum kedua-duanya memecut motosikal masing-masing.

Berita Harian X