Ahad, 21 Julai 2019 | 1:28pm
SUSPEK berjaya diberkas bersama besi penutup longkap yang dicuri selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasaraya di Pekan Inanam, di Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan Polis.
SUSPEK berjaya diberkas bersama besi penutup longkap yang dicuri selepas kenderaan yang mereka naiki di tahan polis di belakang sebuah pasaraya di Pekan Inanam, di Kota Kinabalu. NSTP/Ihsan Polis.

Polis buru Amon

KOTA KINABALU: Polis mengesan seorang suspek dikenali sebagai Amon, selepas dipercayai terbabit dalam kes curi besi penutup longkang di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, seorang rakan suspek sudah diberkas selepas kenderaan yang dinaiki bersama rakannya yang masih bebas itu, ditahan polis di belakang sebuah pasar raya di Pekan Inanam, dekat sini, jam 4 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian besi penutup longkang daripada salah seorang penduduk di Inanam.

“Pengadu menyedari besi penutup longkang dipasang di luar pagar hadapan rumahnya hilang dipercayai dicuri kira-kira jam 9.30 pagi.

“Bagaimanapun, pengadu tidak mengesyaki sesiapa selain tiada saksi atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, pada kira-kira jam 4 petang, anggota ronda menahan sebuah kenderaan dinaiki dua lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu, didapati beberapa besi penutup longkang berada di bahagian penumpang belakang.

“Anggota polis cuba menahan suspek, namun berlaku sedikit pergelutan sebelum polis menahan pemandu manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat 30 unit besi penutup longkang, sembilan unit penebat pencawang elektrik serta alat pemotong besi dan gergaji dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu,” katanya.

Habibi berkata, suspek yang ditahan mengaku dia dan rakannya baru saja mencuri besi penutup longkang di kawasan Inanam.

Beliau berkata, polis mengesan rakan suspek yang masih bebas iaitu lelaki tempatan berusia 20an dikenali sebagai Amon dan beralamat dari Telipok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama sekiranya disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Afizan Kasijan di talian 019-8601230,” katanya.

Berita Harian X