Sabtu, 20 Julai 2019 | 1:06pm
Zaini menunjukkan dadah yang mahu dilupuskan dalam Program Pelupusan Barang Kes Dadah Siri 1/2019 di Keningau. - Ihsan polis

IPK Sabah lupus 7.3 kilogram dadah pelbagai jenis

KENINGAU: Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah melupuskan 7.3 kilogram dadah pelbagai jenis membabitkan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang sudah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan dari pihak mahkamah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata pelupusan dadah bernilai RM350,000 itu dilakukan di sebuah kilang, sejurus selesai proses pendakwaan dan perbicaraan membabitkan 2,590 kertas siasatan yang dibuka sebelum ini.

“Antara dadah dilupuskan itu ialah methamphetamin atau syabu seberat 7030.15 gram, heroin (0.51 gram), ganja (166.04 gram), ketamin (4.57 gram) dan lain-lain jenis dadah.

“Turut dilupuskan ialah ecstasy, pil psikotopik, eramin 5, diazepam, nimetazepam, paracetamol dengan berat 159.60 gram,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Pelupusan Barang Kes Dadah Siri 1/2019, di sini semalam.

Zaini ketika mengulas lanjut, berkata program pelupusan itu bagi mengelak tempat penyimpanan bahan bukti dan barang kes tidak tersusun hingga menyukarkan pergerakan keluar masuk barangan itu bagi tujuan perbicaraan.

“Ia bertujuan untuk memberi ruang simpanan bagi barang kes yang baharu dan masih di dalam perbicaraan. Ini juga bagi mengelak barang kes dadah menjadi rosak, koyak, lusuh dan dicemari oleh makhluk perosak seperti tikus, lipas dan anai-anai, selain membahayakan kesihatan petugas,” katanya.

Katanya, peraturan itu perlu dilaksanakan selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penyiasatan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pelupusan ini juga adalah salah satu cara untuk melakukan audit terhadap barang kes dadah yang dirampas dan selesai bicara untuk dilupuskan mengikut proses yang ditetapkan seperti dinyatakan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207,” katanya.

Katanya lagi, bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mengambil keputusan menggunakan khidmat syarikat untuk proses pembakaran secara tertutup.

Berita Harian X