Selasa, 16 Julai 2019 | 3:59pm
Penguatkuasa Maritim menahan tiga nelayan warga Indonesia selepas memukat di kawasan tidak dibenarkan di perairan Tanjung Papar, Kudat. - Ihsan Maritim

Lima kali ulang kesalahan

KUDAT: Tidak serik-serik. Itu yang dapat digambarkan sikap tiga nelayan warga Indonesia yang ditahan buat kali kelima oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas didapati melakukan kesalahan sama, iaitu memukat di kawasan tidak dibenarkan.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam tadi, tiga nelayan berusia antara 35 hingga 41 tahun itu ditahan ketika sedang leka memukat ikan menggunakan pukat tunda di perairan Tanjung Papar, iaitu kira-kira 1.9 batu nautika dari pesisir pantai.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata bot yang dikendalikan tiga individu itu ditahan dan hasil pemeriksaan pada lesen didapati mereka melanggar syarat sah lesen yang dimiliki.

“Menurut syarat lesen, mereka tidak dibenarkan memukat di kawasan kurang dari tiga batu nautika dari pesisiran terdekat.

“Hasil pemeriksaan lanjut pada sistem juga mendapati ia kesalahan berulang kali kelima bagi nelayan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, demi mengaut keuntungan mudah, nelayan itu sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan ketika menangkap ikan di perairan terbabit.

“Selain itu, kita dapati kebanyakan bot yang melakukan aktiviti ini pada lewat tengah malam sehingga awal pagi dan biasanya bergelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka mengambil mudah terhadap undang-undang demi keuntungan segera walaupun aktiviti menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan akan merosakkan batu karang dan menjejaskan ekosistem alam,” katanya.

Boon berkata, bot berkenaan bersama tiga nelayan itu ditahan serta dibawa ke Jeti Awam Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Boon berkata, majikan atau pemilik bot supaya sentiasa peka dengan aktiviti dan pergerakan pekerja masing-masing.

“Pastikan tekong bot memahami serta mengetahui undang-undang dan peraturan yang sedia ada sebelum diberikan tugas dan minta mereka patuh pada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X