Isnin, 15 Julai 2019 | 6:24pm

Warga Indonesia ditahan cabul budak 9 tahun

GOMBAK: Suspek yang mencabul kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai di Bandar Country Homes, Rawang, pada 10 Julai lalu, ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata buruh binaan warga Indonesia berusia 45 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, tangkapan dibuat di kawasan Country Homes selain turut merampas pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

“Pemeriksaan mendapati suspek tiada dokumen pengenalan diri.

“Siasatan awal saspek secara positif terbabit di dalam kes yang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman, esok.

Terdahulu, perbuatan tidak senonoh lelaki terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai sebelum ia tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 51 saat itu, mangsa dirakam berada di rak jualan kedai bersama seorang kanak-kanak perempuan dipercayai adiknya.

Ketika mangsa leka melihat barang di rak jualan, suspek mendekatinya dari arah belakang lalu memeluk kanak-kanak itu.

Lelaki itu kemudian dilihat kembali lagi ke rak jualan terbabit dan melakukan perkara sama sebelum kedua-dua kanak-kanak berkenaan melarikan diri.

Suspek kemudian berpura-pura melihat barang di rak jualan sebelum beredar dari ruang kedai itu.

Kejadian dimaklumkan ibu mangsa pada malam Jumaat lalu sebelum bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis.

Berita Harian X