Ahad, 14 Julai 2019 | 8:17pm
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian samun berkawan bersenjata di kedai serbaneka 24 jam di Bemban. - Foto ihsan Polis

Cemas diacukan parang

JASIN: Penjaga kaunter wanita berdepan detik mencemaskan apabila diacu parang dalam kejadian samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Bemban, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.40 pagi itu, wanita berkenaan berusia 23 tahun berada seorang diri di kaunter pembayaran minyak sebelum didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup dan bertopeng.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata kejadian samun itu dipercayai membabitkan dua suspek dan seorang daripadanya menunggang motosikal serta menunggu di luar premis.

Beliau berkata, seorang lagi suspek bersenjatakan parang meluru ke arah mangsa dan mengacu sebilah parang pendek sepanjang kira- kira 0.3 meter lalu meminta wang serta barang berharga milik mangsa.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian samun berkawan bersenjata di kedai serbaneka 24 jam di Bemban. - Foto ihsan Polis

“Suspek juga turut mengambil telefon bimbit mangsa serta peti penyimpanan wang tunai di kaunter pembayaran minyak.

“Sebelum keluar, suspek ke kaunter jualan kedai serbaneka dan mengambil rokok pelbagai jenama.

“Anggaran kerugian kesemuanya termasuk wang tunai, telefon bimbit dan rokok berjumlah kira- kira RM4,500,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, premis itu mempunyai dua kaunter pembayaran selain terdapat dua pekerja wanita berusia 19 tahun di bahagian kedai serbaneka.

“Dua pekerja terbabit bertindak masuk serta mengunci diri di dalam stor untuk keselamatan dan melihat kejadian dari cermin.

“Kejadian turut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan selain kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dengan bersenjatakan parang,” katanya.

Berita Harian X