Ahad, 14 Julai 2019 | 12:19pm

Lelaki cabul kanak-kanak perempuan diburu

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes, dekat Gombak, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata dalam kejadian jam 6.19 petang itu, suspek yang belum dikenal pasti juga memeluk kanak-kanak berkenaan daripada belakang sebelum melarikan diri.

“Pengadu membuat laporan polis selepas mendapat maklumat daripada isterinya mengenai insiden itu membabitkan anak mereka kira-kira jam 8 malam, kelmarin.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Video cabul itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan tular menerusi media sosial terutama Facebook sejak kelmarin dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan majoritinya menggesa polis memberkas serta menghukum suspek secepat mungkin.

Berita Harian X