X
Jumaat, 12 Julai 2019 | 4:05pm

Mengaku PATI isteri kedua, elak ditahan Imigresen

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga tempatan di Kampung Pak Sabah, Dungun sanggup mengaku seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai isteri keduanya bagi mengelak wanita itu di tahan Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam operasi semalam.

Lelaki itu mengaku wanita warga Thailand berusia 23 tahun adalah isterinya apabila kedai makan tempat wanita berkenaan bekerja diserbu Imigresen Terengganu jam 6.45 petang.

Bagaimanapun, lelaki berusia lewat 40-an yang turut melakukan kekecohan gagal menunjukkan sijil nikah selepas diminta oleh pihak berkuasa bagi mengesahkan mereka adalah pasangan suami isteri.

Susulan itu, wanita terbabit bersama dua rakannya yang juga warga Thailand ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka melanggar syarat pas lawatan sosial (PLS) dengan bekerja di kedai makan berkenaan.

Tiga wanita terbabit adalah antara 10 individu yang di tahan hasil operasi bersepadu Op Kutip yang dilaksanakan oleh Imigresen Terengganu bermula jam 5 petang semalam hingga 1 pagi, hari ini.

Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanafi, berkata menerusi operasi terbabit seramai 20 pegawai dan anggota dikerah menyerbu 14 lokasi sasaran membabitkan tapak pembinaan rumah dan bangunan, kedai makan, rumah sewa dan rumah kongsi di daerah ini, Marang dan Dungun.

“Menerusi operasi itu seramai 76 warga asing diperiksa dan hasil pemeriksaan, kita menahan 10 PATI termasuk tiga wanita membabitkan warga Indonesia, Kemboja serta Thailand.

“Semua PATI berusia 19 hingga 58 tahun terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen, Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan PLS dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna PLS, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap majikan yang menggajikan atau melindungi PATI,” katanya.

Berita Harian X