Rabu, 10 Julai 2019 | 11:53pm

2 sepupu lemas dipercayai tergelincir ketika menangkap ikan

ARAU: Dua sepupu ditemui lemas dipercayai tergelincir ketika menangkap ikan di tali air Sungai Pulau di belakang rumah nenek mereka di Kampung Jelempok, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa, Muhamad Sayyaf Muhamad Zaki, 8, dan Muhammad Fariz Mikhail Mohd Faizal, 9, dijumpai di dasar sungai selepas penduduk setempat bertindak menyelam untuk mencari mereka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata kejadian disedari berlaku kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

“Berdasarkan keterangan nenek mereka yang berusia 63 tahun, kedua-dua mangsa pergi menangkap ikan tetapi tidak pulang seperti kebiasaannya.

“Nenek mangsa kemudian dikatakan keluar ke belakang rumah dan menemui basikal milik mereka berdua berdekatan tali air, namun kanak-kanak terbabit tidak kelihatan.

“Bimbang sesuatu berlaku ke atas mereka, warga emas itu meminta bantuan penduduk kampung menyelam ke dasar sungai untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanda berkata, kedua-dua mangsa ditemui kira-kira 10 minit selepas penduduk setempat menyelam ke dasar sungai.

“Kedua-dua mayat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah, untuk bedah siasat lewat malam ini,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X