Rabu, 10 Julai 2019 | 12:23pm

Setiausaha eksekutif, pelajar mangsa Macau Scam

KUANTAN: Akibat bimbang ditahan polis, seorang setiausaha eksekutif mendakwa kerugian RM30,700 ditipu sindiket Macau Scam.

Mangsa, seorang wanita berusia 55 tahun dari bandar ini, mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang dikatakan bertugas di Mahkamah Melaka, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek memaklumkan mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

“Suspek mendakwa mangsa perlu hadir ke Mahkamah Melaka sebagai saksi perbicaraan kes berkaitan pengubahan wang haram dan menyambungkan panggilan kepada suspek kedua yang menyamar sebagai anggota polis.

“Panggilan mangsa kemudiannya disambung kepada seorang lagi suspek yang juga menyamar sebagai anggota polis bagi menyelesaikan masalah itu.

“Suspek ketiga meminta mangsa menyerahkan nama pengguna (ID) dan kata laluan perbankan internet milik mangsa bagi memudahkan urusan penyelesaian kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang bimbang dengan dakwaan itu, memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek setiap kali pemindahan wang dilakukan suspek.

Katanya, mangsa menyedari ada sesuatu tidak kena selain curiga dengan tindakan suspek dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang pelajar perempuan berusia 21 tahun dari Cameron Highlands kerugian RM4,140 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

“Mangsa difahamkan menerima panggilan (telefon) daripada suspek yang mendakwa dari Mahkamah Melaka dan memaklumkan ada individu menggunakan kad kredit milik mangsa untuk urus niaga membeli dadah.

“Suspek kemudiannya menyambungkan panggilan kepada seorang lagi suspek (suspek kedua), yang meminta nombor akaun serta kata laluan perbankan internet milik mangsa kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari wang dalam akaunnya berkurangan membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands semalam.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X