Selasa, 9 Julai 2019 | 10:03am

Penganggur disyaki cabul budak ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki kelmarin, bagi membantu siasatan dakwaan mencabul kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di rumahnya sekitar Taman Ehsan, Gombak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata suspek yang juga penganggur berusia 38 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu ketika kanak-kanak terbabit diasuh isterinya di rumah mereka.

“Kejadian diketahui bapanya Sabtu lalu, apabila mangsa menceritakan suspek bertindak mencabulnya.

“Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dibuat.

“Bertindak mengikut laporan diterima, polis menggerakkan pasukannya untuk mengesan suspek dan berjaya menahan lelaki itu kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Berita Harian X