X
Ahad, 7 Julai 2019 | 4:14pm
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan di Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian. - NSTP/Zaid Salim
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan di Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian. - NSTP/Zaid Salim

Imigresen serbu pulau tahan PATI

JERTIH: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu dalam serbuan di Pulau Perhentian, di sini, semalam.

Serbuan di pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong asing dibuat bagi mengekang kebanjiran warga asing yang mengambil kesempatan menjadikan pulau itu sebagai lokasi selamat untuk berada dan bekerja secara haram di negeri ini.

Difahamkan, peluang pekerjaan yang banyak dipercayai menjadi punca kehadiran PATI yang dikatakan semakin meningkat di kawasan pulau berkenaan.

Malah, ada antara mereka menjadikan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai tiket untuk masuk ke pulau berkenaan dengan selamat dan menghuni secara haram selepas mendapat pekerjaan.

Bagi mengelak kehadiran mereka dihidu, Ops Bersepadu membabitkan 16 pegawai diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh, terpaksa menjadi pelancong dengan masing-masing berpakaian santai.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Rahim Hanafi, berkata pihaknya memulakan operasi pada jam 8 pagi dan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil sebelum ke lokasi serbuan.

“Sehingga jam 5 petang, 17 pemeriksaan dibuat di sekitar Pantai Pasir Panjang membabitkan pusat penginapan, rumah sewa, kedai menjual cenderamata, kedai makan, kedai runcit, premis menyewa peralatan snorkeling dan menyelam, tapak binaan selain pemeriksaan rambang di kawasan pantai.

“Daripada 58 orang yang diperiksa, 15 orang termasuk dua wanita Filipina berusia 43 dan 45 tahun ditahan kerana tinggal dan bekerja secara haram di pulau ini,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan masing-masin terdiri daripada enam warga Indonesia, Bangladesh (tiga), Pakistan (tiga), Filipina (dua) dan seorang warga India.

“Seramai lapan orang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan empat orang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

“Selain itu, tiga orang yang ditahan kerana melanggar syarat pas disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Semua PATI berusia antara 28 hingga 45 tahun itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X