Khamis, 4 Julai 2019 | 4:04pm
Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol pelajar tingkatan tiga di Setiu, pada Jun lalu. - NSTP/Ghazali Kori

3 lelaki mengaku salah rogol pelajar

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol pelajar Tingkatan Tiga di Setiu, pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Arif Baharom, 20, berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sementara itu, dua rakannya, Mohd Fakrudin Anuar, 24, dan Mohd Shah Firdaus Hassan, 21, masing-masing berdepan satu tuduhan mengikut seksyen sama yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di Kampung Beris Tok Ku, Mukim Guntong, Setiu, antara jam 8 pagi hingga 11 malam pada 22 hingga 27 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Hairi Mustafa, 23, mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dengan memegang kemaluan dan payudara mangsa sama pada 22 Jun.

Mohd Hairi, yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah semua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan keputusan selain membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob, manakala semua tertuduh diwakili peguam Muhammad Ramlan Taib.

Berita Harian X