Khamis, 4 Julai 2019 | 3:22pm
Pendakwaan fail notis pindah kes Bung Moktar, Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi. - Arkib NSTP
Pendakwaan fail notis pindah kes Bung Moktar, Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi. - Arkib NSTP

Pendakwaan fail notis pindah kes Bung Moktar, Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Pendakwaan memfailkan notis usul bagi memindahkan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai, ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.

Terdahulu, Allan memberitahu mahkamah, pihaknya sudah memfailkan notis usul itu pada 18 Jun lalu bagi memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi.

“Pendakwaan juga akan memfailkan permohonan untuk kes Bung Moktar dan Zizie Izette dibicarakan bersama.

“Bagaimanapun, permohonan itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Permohonan itu tidak dibantah peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, dan Zizie Izette ,41.

Pada prosiding itu, Allan turut memberitahu mahkamah bahawa kesemua dokumen berkaitan kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah dan perkara itu disahkan Kumaraendran.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status permohonan pihak pendakwaan.

Sementara itu, Allan ketika ditemui media berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som, menetapkan 9 Ogos depan untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan hari ini akan menulis surat kepada Mahkamah Sesyen untuk memindahkan tarikh 5 Ogos itu kepada 9 Ogos. Ini kerana Mahkamah Tinggi sudah menetapkan tarikh 9 Ogos depan untuk pendengaran permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan dan pembelaan mahu tarikh sama di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isterinya, Zizie Izette.

Bung Moktar dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga jam 5 petang 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM262,500 daripada individu sama, Madhi, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Berita Harian X