Isnin, 1 Julai 2019 | 10:10pm
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini. - Foto BERNAMA

Penjenayah nekad langgar MPV polis kena tahan

KAJANG: Empat penjenayah menaiki sebuah kereta melanggar dua kereta peronda polis (MPV) dalam cubaan meloloskan diri namun kenderaan itu terbabas dalam kejadian di Ecohill Semenyih di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata salah sebuah MPV pada mulanya sedang melakukan rondaan di sepanjang Jalan Sungai Long menghala ke Semenyih sebelum terserempak sebuah PROTON Wira dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota MPV cuba mengarahkan kenderaan itu berhenti dan menyalakan lampu mata arah (beacon) namun pemandunya tidak memberi kerjasama, sebaliknya terus memecut dari lokasi.

“Pusat Kawalan Polis yang menerima laporan kejadian itu kemudian mengarahkan sebuah lagi kenderaan MPV sebagai pasukan bantuan untuk mengejar kereta suspek.

“Dua kenderaan MPV polis itu mengejar kenderaan suspek sehingga ke kawasan Autumn Park, Econhill Kajang, yang jaraknya kira-kira 20 kilometer.

“Dalam usaha mereka meloloskan diri, suspek nekad melanggar dua kenderaan MPV polis yang cuba menghalang menyebabkan kenderaan suspek terbabas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, dua kenderaan MPV itu mengalami kerosakan namun empat anggotanya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Empat suspek yang berada di dalam kereta terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua wanita Indonesia yang semuanya berusia sekitar 20-an akhirnya ditahan.

“Pemeriksaan yang dijalankan pada kenderaan itu menemui sepucuk pistol angin dan sebilah pedang samurai.

“Ujian saringan air kencing pula mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan salah seorang suspek dikesan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X