JOHOR BAHRU: Seorang jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.
Mohd Azren Jamaludin, 33, yang ditugaskan membuat liputan isu pencemaran udara sejak seminggu lalu, kini masih di bawah pengawasan doktor kerana turut disahkan dijangkiti virus Influenza B.
Doktor yang merawatnya mengesahkan beliau mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru akibat terdedah terlalu lama dalam persekitaran tercemar.