Isnin, 1 Julai 2019 | 11:21am

Pembantu kedai rugi RM95,000 ditipu sindiket Macau Scam

KUANTAN: Seorang pembantu kedai di sini kerugian RM95,000 selepas ditipu ahli sindiket Macau Scam yang menghubunginya melalui telefon dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Suspek berusia 34 tahun itu mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan langgar lari selain kegiatan pengubahan wang haram sebelum memintanya melakukan sembilan transaksi ke tiga akaun bank tempatan di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 20 Mac lalu, mangsa yang tinggal di Galing, dekat sini menerima panggilan daripada suspek menyamar sebagai anggota polis bernama Sarjan Salina Sani.

“Suspek mendakwa dia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan memberitahu mangsa terbabit dalam kemalangan langgar lari menyebabkan seorang budak berusia 16 tahun mati, menggunakan kenderaan jenis Honda Civic.

“Selain itu, ‘Sarjan Salina’ turut mendakwa mangsa terbabit dalam kes dadah dan menyatakan terdapat wang RM2 juta dalam akaun sebuah bank yang berdaftar atas nama mangsa.

“Akaun itu dikatakan dibuka di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu kononnya untuk kegiatan pengubahan wang haram, namun mangsa menafikan terbabit dengan semua tuduhan itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kata Mohd Wazir, suspek selepas itu menyambungkan panggilan kepada pegawai yang kononnya mengendalikan kes, dikenali sebagai ‘Inspektor Fazura’.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan ‘Inspektor Fazura’ bahawa kes itu dalam perbicaraan mahkamah dan suspek mendakwa boleh membantu mangsa membuat rayuan kepada hakim dengan membenarkan jaminan supaya dia tidak ditangkap.

“Keesokan harinya, mangsa mendapat panggilan daripada ‘Inspektor Fazura’ yang memberitahu dia sudah berjumpa dengan hakim supaya waran ke atas mangsa ditangguhkan dan hakim bersetuju tetapi perlu membayar wang jaminan termasuk kos peguam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian memindahkan RM95,000 dan hanya menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan selepas membuat semua pindahan.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X