Isnin, 1 Julai 2019 | 9:42am
NOTA yang dipercayai ditulis ibu kandung bayi berkenaan untuk ditujukan kepada pemilik rumah di Kampung Pompod, Kota Belud. - Foto Ihsan Pembaca

Bayi lelaki ditinggalkan bersama nota

KOTA BELUD: “Saya sebagai ibu gagal menjaga Yusuf. Sejak lahir, Yusuf belum minum setitik susu. Biarlah Yusuf tinggal dengan puan.”

Demikian antara kandungan nota didakwa ditinggalkan bersama seorang bayi lelaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Pompod, dekat sini, semalam.

Kehadiran bayi dipercayai baru dilahirkan itu dikatakan disedari pemilik rumah terbabit, seorang wanita berusia 33 tahun, selepas terdengar tangisannya kira-kira jam 5.30 pagi.

Difahamkan, bayi yang hanya berbalut kain itu ditinggalkan di atas kerusi berhampiran tangga rumah wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata pemilik rumah yang bekerja sebagai kerani itu kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 8.57 pagi.

Beliau berkata, wanita itu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dengan membawa bayi terbabit bersama nota dipercayai ditinggalkan oleh ibu kandungnya.


BAYI yang baru lahir ditinggalkan di hadapan rumah wanita berusia 33 tahun di Kampung Pompod, Kota Belud. - Foto ihsan pembaca

“Pengadu mendakwa beliau dan ibunya terdengar tangisan bayi sebelum keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah. Mereka kemudian mendakwa menemui bayi terbabit dengan sekeping nota yang ditujukan kepadanya.

“Nota itu meminta wanita terbabit menjaga bayi berkenaan dan menyatakan tarikh lahirnya ialah 29 Jun 2019, namun tiada nama ibu kandung bayi disertakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, setakat ini, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya.

“Pengadu mendakwa tidak mengetahui mana-mana saudara terdekat atau penduduk kampung yang baru melahirkan bayi.

“Susulan itu, polis akan menghantar pengadu dan bayi berkenaan ke Hospital Kota Belud bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti hubungan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang ada maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X