Ahad, 30 Jun 2019 | 8:55am

111 sekolah di Pasir Gudang mula dibuka hari ini

PASIR GUDANG: Sebanyak 111 sekolah di sini yang diarahkan tutup selama lima hari minggu lalu, dibuka hari ini.

Tinjauan BH di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, antara sekolah terawal terjejas insiden pencemaran udara minggu lalu, mendapati murid mula hadir ke sekolah sejak jam 7 pagi tadi.

Ada murid kelihatan memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata pihaknya sudah bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan jika insiden pencemaran udara berulang.


KEPEMIMPINAN UMNO dan PAS bertemu di kediaman Ahmad Zahid bagi memperhalusi piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini. - Foto FB Zahid Hamidi

Katanya, Jabatan Kesihatan Johor juga akan membuat taklimat keselamatan kepada 18 sekolah yang terjejas insiden pencemaran udara sejak minggu lalu.

“Sebanyak 18 sekolah diberi keutamaan termasuk SK Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SK Kopok, SK Taman Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman Mawar, yang menjadi antara sekolah terawal yang terjejas minggu lalu.

“Taklimat keselamatan dan kesihatan yang diberi adalah untuk persediaan kepada guru dan murid bagaimana untuk bertindak jika insiden pencemaran udara berlaku lagi, ” katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan di SK Pasir Gudang 4, di sini, hari ini.

Selepas lebih tiga bulan tragedi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini, yang menjejaskan kira-kira 6,000 orang, penduduk dikejutkan dengan kejadian hampir sama 20 Jun lalu apabila puluhan pelajar beberapa sekolah di kawasan ini mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pitam.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sebanyak 111 sekolah, tiga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), 14 sekolah swasta dan antarabangsa selain 347 tadika swasta di Pasir Gudang yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Johor ditutup sejak minggu lalu.

Sementara itu, Azman berkata, tiada keperluan untuk sesi pembelajaran di 111 sekolah yang ditutup sejak minggu lalu diganti semula.

“Tidak perlu sekolah ganti kerana kita yakin tidak berlaku defisit pembelajaran.

“Kita serahkan kepada sekolah untuk menyusun kaedah pembelajaran terbaik selama sekolah ditutup sementara minggu lalu dan jabatan yakin sukatan akan berjaya diselesaikan, ” katanya.

MURID Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 hadir ke sekolah memakai penutup hidung dan mulut untuk menghadiri sesi persekolahan selepas sekolah ditutup selama lima hari kerana pencemaran bau di sekitar Pasir Gudang pada 20 Jun lalu. NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X