Isnin, 17 Jun 2019 | 1:08pm

25 Jun bagi Clare jawap afidavit Sultanah Zahirah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 25 Jun ini bagi mendengar afidavit jawapan balas pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain terhadap permohonan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah supaya kes saman membabitkan kedua mereka diputuskan tanpa perbicaraan.

Saman itu dikemukakan Sultanah Nur Zahirah berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan keputusan kes saman itu dalam kamar selepas dimaklumkan peguam Vishu Kumar, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah dan turut menyebut bagi pihak Rewcastle Brown.

Katanya, pada tarikh itu mahkamah hanya mendengar afidavit jawapan daripada Clare selaku defendan sekiranya ada.

“Berikutan itu, mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Sultanah Nur Zahirah memohon Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah dikemukakan pihaknya terhadap Clare dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus iaitu tanpa perbicaraan.

Permohonan itu difailkan mengikut peruntukan Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 pada 13 Mei lalu.

Pada 30 Januari lalu, Mahkamah Tinggi, di sini, akan memanggil sembilan saksi memberi keterangan termasuk Sultanah Nur Zahirah dan Clare pada perbicaraan yang bermula 25 hingga 29 November ini.

Pada 21 November tahun lalu, Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman terhadap Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak buku itu, Vinlin Press Sdn Bhd, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman itu berhubung petikan dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’ yang mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Berita Harian X