Isnin, 17 Jun 2019 | 9:17am
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. - Foto Edmund Samunting
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. - Foto Edmund Samunting

Polis tahan dua lelaki miliki ganja

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki dan merampas enam bungkusan plastik berisi ganja yang disembunyikan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan di kawasan parkir di sebuah perumahan di Jalan Kayu Madang, Telipok, jam 11.15 malam.

“Hasil serbuan itu merampas empat bungkusan plastik berisi dadah jenis ganja. Seterusnya, hasil maklumat daripada suspek, polis merampas dua lagi bungkusan berisi dadah jenis ganja di sebuah rumah di Luyang, milik salah seorang suspek.

“Jumlah rampasan barang kes hasil tangkapan ini adalah seberat 193.32 gram yang bernilai RM3,867,” katanya dalam kenyataan media.

Habibi berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, tangkapan berdasarkan maklumat risikan dan orang awam ke atas lokasi pengedaran dadah dan sarang penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya.

Berita Harian X