Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:25pm
SAIDI (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas selepas menahan dua buah lori semasa sidang media di Stor Simpanan JKDM Pulau Pinang, Bagan Jermal. - Foto Danial Saad

JKDM rampas 3.71 juta batang rokok seludup

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 3.71 juta batang rokok seludup bernilai RM296,952 dalam dua serbuan berasingan semalam dan Selasa lalu.

Dalam operasi jam 3 pagi semalam, seorang lelaki berusia 40-an turut ditahan di Kilometer 267 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Ipoh, Perak apabila JKDM negeri menemui rokok putih ketika menjalankan pemeriksaan ke atas lori 10 tan yang dipandunya.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Saidi Ismail, berkata pihaknya menahan lori berkenaan untuk melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui bungkusan berisi rokok disembunyikan di bawah timbunan tilam bagi mengabui mata pihak penguat kuasa.

“Siasatan mendapati lori berkenaan, yang membawa tiga juta batang rokok seludup bernilai RM240,000, sedang dalam perjalanan dari selatan untuk memasarkan rokok terbabit di negeri di wilayah utara.

“Oleh itu, pemandu lori terbabit direman selama lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Stor JKDM dekat Kampung Kastam di sini, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Saidi berkata 708,000 batang rokok putih dan keretek pelbagai jenama disyaki tidak mempunyai kelulusan kastam dirampas di sebuah premis di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas, Selasa lalu.

“Rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM56,952, selain kita sedang berusaha mengesan pemilik premis terbabit yang gunakan modus operandi menyimpan rokok di bangunan kosong manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) AKta Kastam 1967.

“Kedua-dua kes rampasan rokok seludup ini membabitkan jumlah cukai lebih RM2.3 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saidi berkata enam kontena di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) disita selepas pihaknya menemui kayu getah bergergaji bernilai RM343,000 yang dilarang untuk dieksport, pada 29 Mei lalu.

“Siasatan mendapati kayu ini mahu dieksport ke China dan sindiket cuba mengabui mata penguat kuasa dengan mengisytiharkan barangan terbabit sebagai kayu getah tanggam jejari (bersambung).

“Bagaimanapun, ia adalah kayu getah bergergaji yang dilarang dieksport berikutan ia boleh menjejaskan industri perabot di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pelesenan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM), Zulkepli Abdul Rani, berkata tindakan syarikat itu yang cuba mengeksport kayu getah bergergaji akan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan bahan terbabit dalam negara.

“Kayu getah bergergaji mendapat permintaan tinggi di luar negara khususnya China dan Taiwan kerana ia mampu menghasilkan perabot berkualiti, namun eksportnya dilarang kerana mahu industri perabot negara menghasilkan produk terbaik.

“Berikutan itu, kita bekerjasama dengan JKDM Pulau Pinang untuk membuat pemeriksaan rapi bagi memastikan kayu yang tidak boleh di eksport tidak di seludup ke luar negara kerana ia akan merugikan industri di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X