Jumaat, 14 Jun 2019 | 12:19pm

Misteri bau busuk terungkai

PADAWAN: Misteri bau busuk melampau di sebuah blok bangunan komersial di MJC Batu Kawa, di sini sejak beberapa hari lalu akhirnya terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah bilik di premis berkenaan kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa, berkata mayat lelaki berusia 56 tahun itu ditemui pemilik premis ketika memeriksa bilik berkenaan yang disewa mangsa.

“Ketika datang ke bilik sewa itu, pemilik premis terhidu bau busuk dan menemui mayat lelaki itu yang juga penyewanya sebaik membuka pintu.

“Pemilik premis kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Merbin berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mayat seorang lelaki dalam keadaan berbogel sudah membengkak serta berbau busuk.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada unsur jenayah dan tidak terdapat kesan luka, calar dan lebam pada mayat mangsa.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat, termasuk mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Katanya, kes ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bedah siasat akan dijalankan sebaik sahaja ahli keluarga atau waris mangsa berjaya dikesan. Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Negeri Sembilan dan pemilik premis memaklumkan bahawa mangsa menyewa seorang diri sejak tiga bulan lalu.

“Seorang saksi turut memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 5 Jun lalu kira-kira jam 2 petang selepas meminta bantuannya untuk memimpin masuk ke bilik sewa selepas mandi kerana tidak dapat berjalan,” katanya.

Berita Harian X