Khamis, 13 Jun 2019 | 4:53pm
RAKAMAN video CCTV memaparkan seorang lelaki yang didakwa cuba merakam mangsa di tandas sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam. - Foto ihsan polis
RAKAMAN video CCTV memaparkan seorang lelaki yang didakwa cuba merakam mangsa di tandas sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam. - Foto ihsan polis

Peguam wanita mangsa intai

SHAH ALAM: Seorang peguam wanita menjerit dan menyembur air ke arah lelaki yang cuba merakamnya membuang air kecil menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di tandas sebuah stesen minyak di Batu Tiga di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam kelmarin, mangsa berusia 34 tahun masuk ke tandas tanpa menyedari dia diikuti suspek.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata peguam itu kemudian melihat ada telefon bimbit dipegang di bawah ruang bawah pintu tandas ketika dia sedang membuang air kecil lalu terus menjerit dan menyembur air ke arah suspek.

“Suspek yang panik selepas mendengar jeritan mangsa kemudian melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sini, hari ini.

Baharudin berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa dan sedang menjalankan siasatan, termasuk meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan.

“Buat masa ini kita belum dapat mengenal pasti umur suspek,” katanya sambil meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan biadab serta mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau juga menasihatkan menasihatkan mereka yang mahu menggunakan tandas awam supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Berita Harian X