X
Selasa, 11 Jun 2019 | 3:45pm
AZIZI (dua kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit di atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat membunuh lembu dan mencuri lembu milik orang lain, 4 Jun lalu. Rakannya, Mohamad Zaki (kanan) dituduh berasingan atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian lembu berkenaan NSTP/Muhaizan Yahya.
AZIZI (dua kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit di atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat membunuh lembu dan mencuri lembu milik orang lain, 4 Jun lalu. Rakannya, Mohamad Zaki (kanan) dituduh berasingan atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian lembu berkenaan NSTP/Muhaizan Yahya.

Lelaki curi lembu dihukum penjara 7 hari, denda RM3,000

PARIT: Seorang lelaki dihukum penjara tujuh hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri lembu dan melakukan khianat membunuh haiwan itu, 4 Jun lalu.

Tertuduh, Azizi Naziri, 32, didenda RM1,000 bagi kesalahan melakukan khianat membunuh lembu milik orang lain dan dihukum penjara tujuh hari serta denda RM2,000 bagi kesalahan mencuri haiwan itu.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf, memerintahkan hukuman penjara Azizi berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 4 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Azizi didakwa melakukan khianat iaitu membunuh seekor lembu betina milik P Kanuappan manakala pertuduhan kedua dia didakwa mencuri lembu berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Ladang Sadang di sini, 4 Jun lalu.

Azizi didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan mencuri pula, dia didakwa mengikut Seksyen 379 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairuz Abd Mutalib manakala Azizi diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Terdahulu, Ahmad Shamil Azad dalam rayuannya terhadap hukuman Azizi memohon mahkamah memberikan denda minimum kerana anak guamnya yang turut menternak lembu keliru dan menyangka lembu berkenaan adalah miliknya.

Sementara itu, rakan Azizi, Mohamad Zaki Zakaria, 57, didakwa atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian lembu berkenaan di tempat dan pada tarikh sama.

Mohamad Zaki dituduh mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga diwakili oleh Ahmad Shamil Azad, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Nazratul Natrah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin terhadap Mohamad Zaki dan menetapkan 31 Julai ini untuk kes itu disebut semula.

Berita Harian X