Isnin, 10 Jun 2019 | 6:59am
OPERASI Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi. - Foto Supian Ahmad
OPERASI Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi. - Foto Supian Ahmad

Penghantar makanan positif dadah dalam operasi bersepadu JPJ

KAJANG: Lima penunggang motosikal termasuk dua pekerja penghantar makanan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019.

Kelima-lima lelaki yang berusia antara 25 hingga 38 tahun itu antara 20 penunggang motosikal yang diperiksa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang di sini, malam tadi.

Kesemua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan ganja selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Menurut jurucakap AADK, kesemua yang ditahan dihantar ke pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Dalam operasi bersepadu yang disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 740 buah motosikal diperiksa.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib, berkata 145 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, kesalahan tidak memiliki lesen adalah yang tertinggi dengan 105 saman.

“Kesalahan lain ialah lesen tamat tempoh, tiada cukai jalan dan insurans serta ubahsuai motosikal termasuk gagal pamerkan nombor pendaftaran selain penggunaan ekzos bising.

“Kita turut mengeluarkan notis sita terhadap 10 buah motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti ubah suai melampau dan tiada cukai jalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Nazli berkata, pihak Imigresen turut menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia daripada 13 warga asing yang diperiksa.

“Operasi malam ini adalah siri keempat iaitu siri yang terakhir dalam operasi bersepadu khas motosikal sempena Aidilfitri, namun kita tetap meneruskan operasi dari masa ke semasa untuk mengesan pesalah trafik.

“Dalam keseluruhan empat siri, sebanyak 4,219 motosikal diperiksa, sebanyak 706 kesalahan dilakukan iaitu tiada lesen memandu (466 kesalahan), tiada cukai jalan (122 kes) dan kesalahan teknikal sebanyak 118 kes.

“Jumlah keseluruhan motosikal yang disita pula adalah sebanyak 41,” katanya.

Berita Harian X