X
Sabtu, 8 Jun 2019 | 4:28pm
NUR Syahida dan suami, Zawawi ibubapa kepada tiga beradik, Nur Ain Fatma, Nur Ain Sofea dan Nur Ain Sasabila yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu. NSTP/Syamsi Suhaimi
NUR Syahida dan suami, Zawawi ibubapa kepada tiga beradik, Nur Ain Fatma, Nur Ain Sofea dan Nur Ain Sasabila yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu. NSTP/Syamsi Suhaimi

Masih terbayang keletah anak-anak di pagi Syawal

KOTA BHARU: “Sebelum ini pasti rumah riuh-rendah dengan anak-anak, terutama ketika mengagihkan duit raya, namun kini semua tinggal kenangan,” Zawawi Wahab, 43, yang kehilangan tiga anak kesayangannya dalam tragedi di Pantai Sura Tengah, di sini Disember tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, Nur Ain Fatma Zawawi, 10, bersama dua lagi adik perempuannya, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi pantai berkenaan.

Zawawi ketika dihubungi BH, berkata beliau dan isteri, Nur Syahida Abdullah, 36, masih terbayang keletah ketiga-tiga anak perempuan mereka itu setiapkali tibanya Aidilfitri dan kekal menjadi kenangan terindah sepanjang hayat.

“Mereka yang paling sibuk membantu menyiapkan biskut raya, terutama popia sehingga lewat malam.

Keadaan pasti riuh rendah kerana masing-masing memainkan peranan menggulung dan menggunting kulit popia.

“Malah, ketika Aidilfitri juga, mereka yang bersemangat menyambut tetamu yang hadir dan akan menyediakan biskut raya. Suasana ketika itu memang meriah dan sangat menggembirakan. Namun, Aidilfitri kali ini hilang serinya bagi kami dan cukup sunyi tanpa kehadiran mereka,” katanya.

Zawawi berkata, Aidilfitri kali ini sangat berbeza dan dirasai tanpa kehadiran insan tersayang menyebabkan tiada lagi aktiviti membuat kuih raya atau memasak juadah raya, sebaliknya mereka hanya menyambut secara sederhana.

Katanya, walaupun masih bersedih dengan kehilangan anak-anak, namun dia reda kerana menganggap apa yang berlaku sudah ditakdirkan.

“Ibu bapa mana yang tidak sebak mengenangkan anak-anak. Tiga anak kami pergi sekelip mata, meninggalkan saya dan isteri buat selama-lamanya. Sehingga kini kesedihan kehilangan mereka masih dirasai.

“Aidilfitri kali ini saya hanya berkunjung ke rumah mentua pada pagi raya dan kemudian kami terpaksa menyibukkan diri di rumah di Kampung Pangkal Pisang, Peringat bagi mengelak daripada terus merindui mereka (anak-anak),” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian lemas itu, jenazah Nurain Sofia ditemui Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 7.48 pagi dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian.

Manakala, jenazah kedua, Nurain Sasabila ditemui pada 9.40 pagi kira-kira satu kilometer dari darat dan Nurain Fatma, ditemui dalam jarak lima kilometer dari lokasi kejadian

Zawawi ketika mengulas lanjut, berkata hasil sumbangan orang ramai kepada ketiga-tiga arwah anaknya turut disumbangkan kepada Palestin, Syria dan golongan memerlukan.

“Malah, ketika Ramadan baru-baru ini, saya dan isteri turut membelikan beberapa pasang baju raya untuk diberikan kepada rakan-rakan anak saya yang kurang berkemampuan.

“Dengan cara itu, hati saya lebih tenang apabila saya seolah-olah membeli baju raya kepada anak-anak saya.

“Beberapa basikal anak saya juga masih disimpan sebagai tanda kenangan. Saya akan mencari mereka yang betul-betul memerlukan untuk menyerahkannya,” katanya.

Berita Harian X