Selasa, 4 Jun 2019 | 7:05pm

2 lelaki gagal mencuri, beraya di lokap

MELAKA: Dua lelaki terpaksa beraya di lokap selepas direman bagi membantu siasatan kes cubaan mencuri di dalam surau Kampung Merlimau, Merlimau, dekat Jasin, di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata tukang kimpal dan penganggur masing-masing berusia berusia 45 dan 42 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Jumaat ini.

Katanya, dua suspek berkenaan ditahan selepas pengadu berusia 56 tahun yang juga jemaah surau menyedari kehadiran mereka berada di kawasan surau dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.

“Pengadu nampak salah seorang suspek keluar dari pintu belakang surau dekat dengan stor dan menggalas beg berwarna hitam sebelum menahan mereka.

“Pengadu kemudian memeriksa beg berkenaan yang terdapat spanar boleh laras, playar, pemutar skru dan besi.

“Pengadu yang mengesyaki peralatan terbabit akan digunakan bagi memecahkan tabung surau kemudian menghubungi pihak Balai Polis Merlimau untuk mendapatkan bantuan dan membuat laporan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Arshad berkata, siasatan mendapati suspek enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dengan bantuan tiga penduduk kampung.

“Pemeriksaan dalam surau juga mendapati tiada barang hilang atau rosak, dipercayai suspek tidak sempat melakukan kegiatan mereka,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek positif ganja dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Berita Harian X