Isnin, 3 Jun 2019 | 3:49pm
Wakil UCA Sarikei membuat laporan polis di Balai Polis Sarikei susulan kejadian pecah masuk premis Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sarikei, di Jalan Jelutong. - NSTP/Khalid Latip
Wakil UCA Sarikei membuat laporan polis di Balai Polis Sarikei susulan kejadian pecah masuk premis Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sarikei, di Jalan Jelutong. - NSTP/Khalid Latip

Air kotak pun kena kebas

SARIKEI: Sejumlah air kotak antara barang dilarikan pencuri yang menceroboh premis Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sarikei, di Jalan Jelutong, di sini semalam.

Kejadian itu disedari seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci yang masuk ke bangunan berkenaan pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang, berkata selepas menyedari premis berkenaan diceroboh, tukang cuci terbabit memaklumkannya kepada majikan, yang kemudiannya meminta pekerja berusia 55 tahun itu membuat laporan polis.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku beberapa jam sebelum tukang cuci terbabit memulakan tugasnya.

“Polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima laporan itu turut mendapati pagar premis berkenaan dipotong oleh penceroboh.

“Penceroboh juga didapati menggeledah tujuh daripada 10 bilik di dalam bangunan terbabit sebelum melarikan beberapa barangan berharga di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Awang Arfian berkata, selain air kotak, barangan yang hilang termasuklah satu set televisyen, alat pembesar suara dan beberapa peralatan elektrik yang dianggarkan bernilai RM6,000.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata suspek dipercayai masuk melalui bawah bangunan sebelum menceroboh tujuh bilik dan melarikan barangan berharga.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan berusaha mengesan penjenayah yang menceroboh premis itu,” katanya.

Berita Harian X