Ahad, 2 Jun 2019 | 7:10pm
Keadaan kenderaan sebuah keluarga yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 81.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara. - Ihsan pembaca
Keadaan kenderaan sebuah keluarga yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 81.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara. - Ihsan pembaca

Bapa maut, dua anak parah MPV terbabas

GURUN: Seorang maut dan dua parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam sekeluarga terbabas di Kilometer (KM) 81.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, petang tadi.

Dalam kemalangan pada jam 2.43 petang berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun itu, mangsa, Azli Jaafar, 54, yang duduk pada bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam MPV jenis Toyata Wish.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah, berkata MPV dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor, ke kampung mereka di Anak Bukit, Alor Setar untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila MPV dipandu anak sulung mangsa terbabas ke kiri lebuh raya sebelum melanggar besi penghadang.

“Pemandu MPV terbabit dipercayai dalam keadaan mengantuk dan memandu laju sehingga hilang kawalan sebelum terbabas di tempat kejadian.

“Impak kemalangan, mangsa maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di kepala dan dalaman badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan dua mangsa yang parah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X