Sabtu, 1 Jun 2019 | 2:47pm
MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dilaporkan hilang sejak 15 April lalu. - Foto NSTP
MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dilaporkan hilang sejak 15 April lalu. - Foto NSTP

Suspek cuba peras bapa kanak-kanak hilang ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun selepas disyaki cuba melakukan pemerasan terhadap bapa Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata, suspek mengirim satu pesanan menerusi WhatsApp kepada bapa Muhammad Zahiruddin, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, pada 13 Mei lalu.

Katanya, suspek cuba meminta wang daripada Mohd Fauzi dengan memaklumkan Muhammad Zahiruddin ada bersamanya.

“Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada polis dan susulan itu, Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Operasi Khas (D8) Kontinjen Selangor berjaya mengesan suspek.

“Suspek kemudian ditahan pada 18 Mei di Permas Jaya, Johor Bahru, ketika disoal siasat suspek mengaku mangsa (Muhammad Zahiruddin) tiada bersamanya dan turut mengaku cuba mengambil kesempatan daripada kes kehilangan Muhammad Zahiruddin kerana terdesak tiada duit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sehingga proses siasatan selesai.

Muhammad Zahiruddin dilaporkan keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi sekitar jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Kehilangan Muhammad Zahiruddin disedari ibunya sebaik tiba di rumah selepas pulang bekerja pada jam 7 malam.

Bapa mangsa, Mohd Fauzi, 45, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Balai Polis Bangi, awal pagi 16 April lalu sebelum disebarkan melalui Nur Alert.

Susulan itu, usaha mengesan kanak-kanak itu dilakukan oleh polis sehingga ke hari ini dan kes masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang (OH) tanpa pembabitan sebarang unsur jenayah.

Berita Harian X