Jumaat, 31 Mei 2019 | 5:20pm
SAMSOR Maarof menunjukkan gambar suspek yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka 24 jam yang disamun.
SAMSOR Maarof menunjukkan gambar suspek yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka 24 jam yang disamun.

Dua geng samun kedai serbaneka 24 jam tewas

GOMBAK: Polis menumpaskan dua kumpulan yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Lembah Klang selepas menahan tujuh lelaki dalam serbuan berasingan antara 23 hingga 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata kesemua suspek dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka yang disamun kumpulan terbabit.

Katanya, kumpulan pertama dikenali sebagai Geng Dinamik ditahan antara 23 hingga 28 Mei di sekitar Gombak.

“Kumpulan ini aktif sejak April lalu dan menjadikan kedai serbaneka 24 jam sebagai sasaran samun selain menggunakan parang setiap kali menyamun.

“Mereka menyamun rokok, wang daripada mesin tunai dan telefon bimbit milik pekerja kedai antara jam 12 tengah malam sehingga awal pagi.

“Daripada lima suspek tiga memiliki rekod dadah dan jenayah lampau, manakala seorang lagi masih diburu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Samsor berkata, kumpulan kedua pula dikenali sebagai Geng Awe turut menggunakan modus operandi yang sama.

“Dua lelaki Geng Awe berusia 17 dan 18 tahun ditahan di Selayang antara 25 hingga 27 Mei lalu, aktif sejak April dan menggunakan parang untuk melakukan samun.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek memiliki rekod dadah dan jenayah lampau,” katanya.

Samsor berkata, sebanyak lima motosikal disita manakala lima bilah senjata tajam dan lima topi keledar serta seutas rantai emas dirampas daripada kedua-dua kumpulan terbabit.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga 3 Jun depan.

Berita Harian X