Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:11pm

6 dicekup leka berjudi, buat bising

KOTA BELUD: Tindakan enam lelaki berjudi sambil berbuat bising hingga menganggu penduduk setempat membawa padah selepas kegiatan mereka dilaporkan kepada polis di Kampung Hijrah, di sini semalam.

Ia seterusnya membawa kepada penahanan keenam-enam individu terbabit di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan yang dipercayai dijadikan sarang perjudian.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata tangkapan dibuat melalui Ops Dadu membabitkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Belud.

“Operasi yang bermula jam 12.05 tengah malam itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah selepas menerima maklumat awam yang tidak tenteram akibat bunyi bising dipercayai daripada aktiviti suspek berjudi pada waktu malam.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 46 tahun ditahan dipercayai sedang berjudi di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian itu turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

Antaranya kain kanvas tertera logo pilihan pertaruhan judi, lampu, set mangkuk, tiga dadu serta wang bernilai RM17 dipercayai hasil pertaruhan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Berita Harian X