Khamis, 30 Mei 2019 | 4:26pm

Muka bengkak, lebam ditumbuk penyamun ganas

IPOH: Muka seorang wanita lebam dan bengkak selepas dipercayai ditumbuk seorang daripada dua penyamun yang cuba menyamunnya di Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 27 tahun menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum dihalang dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dengan menaiki motosikal Honda EX5.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati salah seorang suspek kemudian turun dari motosikal sebelum membuka pintu kereta mangsa dan cuba mengambil beg tangan di tempat duduk penumpang hadapan.

Katanya, mangsa cuba menghalang tindakan suspek itu dengan menarik beg berkenaan dan berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka sebelum suspek bertindak menumbuk muka mangsa.

“Mangsa dipercayai ditumbuk beberapa kali di bahagian muka dan badan menyebabkannya mengalami bengkak di mata sebelah kiri, dahi dan kedua-dua tangan.

“Menurut keterangan mangsa, dia juga perasan suspek ada memegang pisau tetapi hanya menunjukkan pisau berkenaan sebelum melarikan diri selepas sebuah kereta dari arah belakang membunyikan hon,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ali berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian disebabkan kedua-dua suspek gagal membawa lari beg tangan berkenaan namun mengalami kecederaan berkenaan.

Menurutnya, mangsa juga tidak dapat mengecam wajah suspek disebabkan kedua-dua mereka memakai topi keledar berpenutup manakala lokasi berkenaan tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terbabit dalam kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X